Home » hargai waktu » Amalan waktu pagi
Jun
21

Amalan waktu pagi

Awal pagi merupakan waktu penting untuk menentukan perjalanan hidup kita seharian. Mood pagi yang ceria dan gembira akan menghasilkan hari yang indah untuk kita dan orang lain. Perkara yang sebaliknya akan berlaku sekiranya mood pagi kita dimulakan dengan keadaan yang stress dan marah-marah, ini akan menyebabkan kerja seharian kita akan terganggu dan kualiti kerja kita akan menurun.

Berikut disenaraikan beberapa amalan mudah yang boleh kita amalkan pada setiap pagi:

  • Bangunlah awal pagi-setelah terbangun dari tidur ucaplah syukur kepada Allah kerana telah diberikan nikmat kehidupan sehari lagi kepada kita.
  • Bersegeralah menyucikan diri-ambil wuduk dan tunaikan solat sunat tahajjud.                                                                                                                                                                                                                    Firman Allah dalam surah al-Isra’, ayat 79:Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
  • Banyakkanlah berdoa pada waktu awal pagi kerana ia antara waktu mustajab untuk berdoa-Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Rasulullah s.a.w. ditanya oleh seseorang: “Apakah doa yang lebih didengar (lebih makbul dan mustajab)?” Baginda bersabda: “Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat-solat fardu.” (Riwayat al-Tirmizi)
  • Lakukanlah solat subuh berjemaah-Daripada Jundab bin Abdillah berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Barangsiapa yang solat subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah.” (riwayat Imam Muslim dalam kitab sahihnya). Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Amalkan membaca Al-Mathurat selepas subuh-Al Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa disamping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi dan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
  • Amalkan solat sunat Dhuha-Daripada Ibn Umar r.a., katanya Rasulullah s.a.w bersabda: Firman Allah dalam hadis kudsi maksudnya: “Hai anak adam, solatlah kerana-Ku dua rakaat Dhuha pada awal hari nescaya Aku jamin hingga akhir hari tersebut.” (diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Kabir)

Marilah kita semua cuba mengamalkan amalan mudah ini setiap pagi. Amalan yang berterusan akan membentuk tabiat, insyaallah tabiat yang baik ini akan menjadi amalan sehingga akhir hayat kita. Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah Taala ialah sesiapa yang melakukan amalan itu secara berterusan sekalipun sedikit.” (Riwayat Muslim). Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Be Sociable, Share!
"Not everything that can be counted counts, and not everything that counts can be counted."
~ Albert Einstein
Share

No Responses to “Amalan waktu pagi”

Add reply

*