Archive

Archive for the ‘motivasi’ Category

Jul
03

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda: “Bukanlah orang gagah itu, orang yang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terdapat tiga langkah penting yang perlu kita lakukan ketika marah:

  1. Berhenti – Akui bahawa kita sedang marah dan cubalah bertenang. Jika kita sedang marah dalam keadaan berdiri maka duduklah, jika kita sedang marah dalam ruang tertutup maka cubalah keluar dan ambil angin luar.
  2. Berfikir – Rancang semula fikiran kita ingatlah Allah dan mohon keampunan-Nya. Pesanan Rasulullah kepada menantunya Sayidina Ali, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Ali! Janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkan mengenai kekuasaan Allah serta kesabaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.”
  3. Bertindak – Gunakanlah daya tindak yang berkesan dan efektif. Carilah punca kemarahan, rangkalah alternatif-alternatif yang boleh menyelesaikan punca kemarahan. Pilihlah alternatif yang terbaik dan bertindaklah untuk melaksanakannya.

Antara penyebab kepada keinginan untuk marah ialah melalui kritikan.

  • Tangani kritikan dengan baik apabila kita dikritik – Bertenanglah apabila dikritik. Terimalah kritikan dengan positif.
  • Sekiranya kritikan itu bersifat membina dan benar – Terimalah kritikan tersebut dengan berlapang dada. Ambil langkah yang sewajarnya berubahlah menjadi lebih baik.
  • Sekiranya kritikan itu tidak benar dan menyinggung perasaan kita – Cuba siasat dan dapatkan maklumat lebih lanjut dan terperinci. Kumpulkan maklumat yang sebenarnya dan betulkan tanggapan yang salah itu.

Sesungguhnya kunci utama untuk mengekang sifat marah ialah dengan bersabar. Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada SABAR.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Share

Jun
12

Kos sara hidup yang tinggi membebankan kita. Harga barang naik, harga minyak naik tapi gaji tak naik-naik!! Zaman sekarang semuanya gunakan duit. Melangkah kaki keluar rumah jer kena pastikan poket berisi, kalau poket tak berisi kepala yang akan terisi dengan masalah. Di sini saya kongsikan sedikit tip-tip untuk mengurangkan kos sara hidup mungkin tip-tip ini berkesan untuk saya tapi tak berkesan untuk orang lain, mana yang baik boleh kita amalkan mana yang tak baik boleh kita perbaiki.

  • Berbelanjalah mengikut keperluan bukannya kehendak. Gunakanlah akal fikiran kita yang waras sebelum berbelanja, janganlah berbelanja mengikut hati kelak kita sendiri yang akan susah hati.
  • Gunakan kenderaan ringan untuk ke mana-mana. Motorsikal-jimat minyak, jimat tol. Kereta cc rendah-jimat minyak. Jika public transport di kawasan anda efisien lebih baik gunakan public transport-banyak jimatnya.
  • Kurangkan makan di luar-masaklah sendiri.
  • Membeli barangan peribadi ketika SALE. Ketika sale banyak barang yang diberikan harga diskaun, shoppinglah ketika ini, mungkin barangan yang kita idamkan dapat kita beli dengan harga yang murah.
  • Buatlah checklist sebelum keluar membeli belah-tabiat ini dapat mengelakkan kita membeli barang yang tak perlu.
  • Lakukanlah aktiviti riadah. Aktiviti riadah menyegarkan badan, menyihatkan minda. Aktiviti yang tidak memerlukan kos yang tinggi ini berupaya meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan kita. Bila badan sihat kuranglah budjet kita untuk membeli ubat-ubatan. Badan sihat-duit jimat. Teori mudah yang boleh kita praktikkan.
  • Catit setiap sen perbelanjaan anda setiap hari. Tabiat ini dapat mengawal aliran keluar masuk duit kita.  Selain itu kita juga dapat menyekat perbelanjaan yang tak perlu.

Semoga tip-tip yang disenaraikan bermanafaat untuk semua.

Share

May
21

Dalam kehidupan ini walau apa pun impian kita, biar apa pun bidang yang kita ceburi, tak kira betapa bijaknya kita, betapa berbakatnya kita atau betapa menariknya kita tak mungkin kita berjaya mencapai impian kita dalam hanya satu malam.

Kesabaran adalah kunci kejayaan. Perkara yang baik akan muncul dalam hidup kita bila kita fokus dan istiqamah melakukannya serta sanggup bersabar untuk menunggu hasilnya. Mungkin kita ghairah dan bersemangat untuk merealisasikan impian kita secepat mungkin namun percayalah biasanya terdapat ranjau dan halangan dalam perjalanan menuju kejayaan ini. Kejayaan yang kita harapkan mengambil masa untuk menjadi kenyataan, mungkin ada yang terlalu cepat dan mungkin ada juga yang terlalu lambat. Mungkin selepas setahun, 5 tahun atau 10 tahun barulah nampak hasilnya. Jika impian tidak tercapai, janganlah putus asa dan putus harapan, ubahlah strategi, tambahlah ilmu, tetapkan matlamat dan teruskanlah usaha.

Kejayaan yang dicapai setelah berpenat lelah adalah lebih manis daripada kejayaan segera. Ramai yang tidak mampu mengawal kejayaan yang datang terlalu cepat. Perubahan yang mendadak melekakan kita dan menyebabkan kejayaan segera yang diperolehi tidak dapat bertahan lama.

Realitinya, kejayaan memakan masa untuk dicapai. Kejayaan yang berjaya dicapai dalam hanya satu malam hanya berlaku dalam kisah dongeng, novel, atau filem sahaja tak mungkin dalam dunia sebenar. Tanyalah soalan-soalan ini kepada diri kita;”  apa yang kita inginkan?”, “apa yang kita impikan?”, “apakah matlamat kita?” apabila semua persolan ini terjawab kita akan mendapat gambaran hala tuju kita, dan kita akan terus fokus untuk mencapainya.

Tumpukan sepenuh tenaga, usaha, dan masa untuk mencapai apa yang kita inginkan dan bersabar serta berdoalah kerana untuk mencapai sesuatu yang bermakna pasti ada harganya.

Share

May
15

Pernah tak kita mendengar seseorang mengatakan dirinya selfish? Tentu jarang kan.Kata-kata yang pernah kita dengar “eh ko nih selfish la”, “mamat tu memang selfish“, janganlah selfish sangat, orang lain pun nak jugak”. Penutur kata-kata ini merasakan hanya orang lain yang selfish bukan dirinya.Berhentilah melabelkan orang lain selfish. Hakikat yang sebenarnya setiap orang di dunia ini termasuk diri saya adalah selfish.

Pernah tak orang lain melabelkan diri kita sebagai selfish disebabkan mereka tidak dapat apa yang mereka inginkan? Hakikatnya tanpa mereka sedar perkara yang mendorong mereka melabelkan kita selfish adalah sifat selfish dalam diri mereka sendiri. Mereka meminta orang lain melakukan sesuatu untuk kesenangan atau kebahagiaan mereka, bila matlamat mereka tak tercapai mereka mula menyalahkan orang lain. Jadi siapa sebenarnya yang lebih selfish?

Sebenarnya apa yang kita lakukan untuk orang lain adalah berdasarkan naluri selfish kita sendiri, contohnya kita menderma kerana kita mahu hidup orang lain menjadi lebih baik, kita memandu dengan cermat kerana kita mahu keadaan jalan lebih selamat, menyelamatkan nyawa dan menjimatkan duit kita daripada terlibat dengan kemalangan. Semuanya berbalik kepada diri kita, kita yang mahu mencorakkan keadaan sepertimana yang kita nak. Jadi diri kitalah yang selfish.

Kepada mereka yang mengatakan diri mereka tidak selfish-ini bermakna mereka tidak mementingkan atau memberi perhatian kepada diri sendiri. Hanya mereka yang kurang waras dan yang sudah kaku menjadi mayat sahaja yang tidak mementingkan diri sendiri. Sanggup melepaskan peluang atau kejayaan yang sepatutnya menjadi milik kita kepada orang lain, kerana beranggapan orang lain lebih layak menerimanya berbanding diri kita.  Tidak mementingkan diri sendiri ini tidak berlaku bagi manusia yang waras.

Kepada mereka yang selfish-bermakna mereka memberi perhatian kepada diri mereka sendiri terlebih dahulu. Sikap ini ada pada setiap manusia waras dalam dunia ini. Apa yang kita lakukan untuk orang lain semuanya bersebab. Pendorong atau motivasi untuk melakukan sesuatu kepada orang lain mungkin disebabkan untuk mengelakkan rasa bersalah, untuk menjadikan diri kita lebih bagus, untuk disukai oleh orang lain, untuk menjadikan dunia lebih baik atau untuk bekalan ke syurga.

Kesimpulannya sikap selfish ini bukanlah sikap yang tidak baik, kita perlu selfish untuk diri kita cuma yang pentingnya sikap selfish kita perlulah masuk akal dan bukannya ke arah yang tidak rasional. Tanamlah dalam pemikiran kita yang dunia ini kita yang punya, kita yang mencorakkannya dan semuanya bermula dari dalam diri kita. Selfish yang tidak rasional akan menyebabkan orang lain menjauhi kita sebaliknya selfish yang logik akal akan menjadikan kita lebih pemurah, baik hati dan bertimbang rasa. Jadilah insan yang baik kerana ia akan mempengaruhi kehidupan kita, kita akan lebih merasai aura yang positif dan sudah semestinya lebih ramai orang yang bersikap baik akan bersahabat dengan kita. Kesannya akan menyebabkan dunia menjadi lebih baik untuk kita dan seluruh isinya.

 

 

Share

Apr
29

Amat penting untuk kita mengenalpasti orang-orang yang negatif supaya kita berupaya mengambil tindakan yang sewajarnya bila berhadapan dengan mereka. Semakin lama kita terjebak dengan orang-orang yang negatif, kebarangkalian kita akan terpengaruh dengan mereka adalah tinggi.

Individu negatif selalu merasakan seluruh isi dunia tidak betul, hanya mereka yang betul. Atas alasan yang pelik ini mereka inginkan orang lain pun merasai apa yang mereka rasa. Mereka akan mengkritik sesiapa saja yang mereka suka. Sesetengah daripada individu negatif ini rela menghabiskan seluruh hidupnya untuk menjadikan hidup orang lain kacau bilau dan jangan pulak kita pelik jika mereka gembira atas usaha mereka itu kerana ia mungkin merupakan kepuasan bagi mereka.

Mungkin “trademark” bagi individu negatif ini adalah kesanggupan mereka untuk melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan orang-orang yang positif, mereka mempunyai pelbagai helah dan koleksi kisah-kisah malang yang mampu menjatuhkan orang-orang yang positif.

Kita mungkin merasakan yang kita mampu untuk membimbing individu negatif ini menjadi positif seperti kita realitinya kita sukar untuk  merubah mereka. Terimalah kenyataan individu negatif ini suka melihat dunia daripada pandangan mata mereka sendiri, bukan orang lain. Richard Bach didalam bukunya bertajuk One telah menulis “tiada sesiapa yang boleh menyelesaikan masalah sesorang jika orang itu tidak mahu masalah itu diselesaikan”

Individu negatif akan mengganggu hidup kita bila mereka berpeluang untuk menghasut kita. Kita mesti bertindak menghentikan mereka dahulu sebelum mereka berjaya menghasut kita. Untuk menghapuskan kebosanan dan kekecewaaan menghadapi individu negatif ini kita perlu melakukan beberapa strategi;antaranya ialah jauhkan diri kita daripada individu yang membawa kemudaratan kepada diri kita. Cubalah arahkan perhatian mereka ke arah lain sementara itu kita perlulah menghala ke arah yang bertentangan. Jika dalam persekitaran kita dipenuhi aura-aura negatif maka jangan tunggu lagi, angkat kaki dan cabut. Carilah persekitaran lain yang lebih baik untuk kemajuan diri kita. Persekitaran yang positif akan memberikan kita semangat dan motivasi untuk terus maju ke hadapan.

 

Share

Apr
26

Suatu hari seorang lelaki terjumpa dengan kepompong kupu-kupu. Diperhatinya kepompong itu, tiba-tiba dilihatnya muncul satu lubang kecil. Rupa-rupanya kupu-kupu di dalam kepompong itu ingin meloloskan diri untuk keluar dari kepompong itu. Setelah beberapa lama kupu-kupu itu bergelut untuk keluar dari lubang kecil itu ia pun berhenti kerana tidak mampu lagi mengerah keringatnya.

Lelaki itu mengambil keputusan untuk membantu kupu-kupu tersebut. Diambilnya gunting dan dipotongnya kepompong itu, kupu-kupu itu berjaya keluar dengan mudah tetapi tubuhnya bengkak-bengkak dan sayapnya layu.

Lelaki itu meneruskan pemerhatiannya, dia berharap sayap kupu-kupu itu akan mengembang dan dapat menyokong badannya. Harapannya tinggal harapan, realitinya kupu-kupu itu tidak dapat terbang, ia hanya mampu merangkak.

Lelaki yang baik hati dan terburu-buru ini tidak tahu : kupu-kupu perlu bergelut untuk keluar daripada kepompong, ini kerana perjuangannya untuk keluar akan memaksa cecair dari badannya untuk menguatkan sayapnya, ia akan mampu untuk keluar dengan sendirinya dan mampu terbang apabila prosesnya telah sempurna.

Begitu juga dengan kita, kadangkala kita perlu bergelut untuk mencapai apa yang kita perlukan dalam hidup kita. Hidup tanpa rintangan mampu melumpuhkan kita. Kita tidak akan menjadi kuat seperti yang kita inginkan dan kita tak akan mampu terbang tinggi.

Dalam kehidupan, kita akan biasa berhadapan rintangan, kita akan berhadapan dengan orang yang bersikap negatif, dan ada juga orang yang akan melemahkan diri kita untuk mencapai impian kita. Kita mungkin akan menghadapi hari yang ceria dan mungkin juga kebanyakkan hari kita merupakan hari yang mendung. Mungkin juga kita akan berasa putus asa. Bila ini terjadi kita perlu mengenang kembali kisah kupu-kupu di mana kita perlu memaksa diri kita untuk menghadapi rintangan yang menghalang laluan kita untuk berjaya. InsyaAllah  kita akan bertemu dengan kesenangan setelah rintangan itu mampu kita hadapi.

 

 

Share

Apr
23

Kita mesti pernah mendengar tentang Henry Ford. Sebenarnya Ford tidak memiliki kemahiran ataupun bakat yang diperlukan bagi mencipta apa-apapun. Beliau hanyalah seorang manusia biasa yang mengambil tindakan secara besar-besaran dan percaya ‘tiada apa yang mustahil’. Beliau mengatakan “sama ada anda percaya anda boleh ataupun anda tak boleh, kedua-duanya adalah benar”. Rahsia kejayaannya ialah “ambil orang-orang bijak bekerja dengan saya”.

Kita cuba perhatikan pula bagaimana Soichiro Honda seorang ikon dalam industri automotif di negara matahari terbit. Soichiro menghabiskan masa dengan bekerja bersama bapaknya dalam bisnes membaiki basikal. Semasa berusia 15 tahun dengan tanpa pendidikan format Soichiro behijrah ke Tokyo dengan tekad untuk merubah masa depannya. Beliau sering bertukar kerja selama beberapa tahun tanpa kejayaan manis yang boleh diperkatakan. Pada usia 22 tahun Soichiro memulakan bisnesnya sendiri iaitu bisnes membaiki kereta. Daripada permulaan yang biasa lahirlah sebuah perniagaan luar biasa yang D BOOM. Selama 20 tahun beliau sentiasa mencuba, Soichiro akhirnya berjaya mengeluarkan piston rings untuk enjin kecil dan akhirnya enjin lengkap bagi sebuah motorsikal. Pada 1948 beliau menubuhkan Honda Motor Company. Syarikat ini berkembang sebagai sebuah syarikat gergasi multimillion dollar, mengeluarkan motorsikal terlaris di dunia dan akhirnya Honda menjadi pengeluar terbesar internal combustion enjin. Saya membayangkan pasti anda yang membaca artikel ini mempunyai kereta honda, motorsikal Honda ataupun pemotong rumput jenama honda dalam garaj rumah anda. Saya sendiri pun bercita-cita nak menggunakan Honda Accord:-)

Kata-kata Soichiro Honda yang terkenal ialah “sukses adalah 99% Kegagalan”

Menurut Thomas Watson pengasas IBM “jika anda ingin meningkatkan kadar pencapaian anda, gandakan kadar kegagalan anda.” Mereka yang berjaya percaya kegagalan merupakan ujian, tanpanya mereka sukar untuk berjaya. Ini kerana melalui kegagalan mereka berupaya membina pertimbangan baru, perspektif baru dan meningkatkan keupayaan untuk lebih berjaya pada masa depan.

Membina perniagaan atau apa-apa bidang sekalipun pastinya ada masa kita akan terima kegagalan. Soichiro Honda tahu dan saya pasti kita semua tahu, tapi ini tidak bermakna kita merancang untuk gagal. Apa yang penting kita tidak hilang fokus, tenaga dan matlamat kita bila kita temui kegagalan. Senyumlah dan ubah strategi, kerana kita perlu percaya, dengan perubahan teknik dan taktik kejayaan pasti milik kita.

 

Share

Apr
21

Kuasa motivasi kepada diri adalah pujian dan penghargaan. Dengan pujian dan penghargaan ia akan dapat memberi galakan untuk kita memberikan kualiti yang terbaik dalam setiap kerja yang kita lakukan.

Setiap daripada kita mempunyai naluri ingin

  • rasa diperlukan dalam kumpulan
  • rasa ingin dihargai
  • rasa ingin dikenali atas segala usaha yang di tunjukkan

Jika kita menginginkan seseorang menjadi sukses, mulalah beri pujian dan penghargaan bila mereka melakukan sesuatu dengan baik. Setiap daripada kita inginkan penghargaan ke atas usaha yang dilakukan. Apabila kita memuji dan menghargai sudah tentu orang yang menerima pujian akan berusaha lebih gigih untuk mendapat penghargaan sedemikian lagi.

Penghargaan tidak semestinya perlu formal. Kata-kata seperti “awak melakukan kerja yang baik” atau “saya bangga dengan awak” sudah cukup untuk membuatkan orang yang dipuji tersenyum sepanjang hari.

Jadi mulai saat ini mulalah kita memberikan pujian dan penghargaan atas tindakan atau usaha yang baik kepada orang di sekeliling kita. Pujian bukan tujuan mengampu, tapi pujian sebagai penghargaan.

Mulalah dengan orang yang paling rapat dengan kita

Pujilah isteri/suami anda atas tindakan dan usaha yang baik.

Pujilah anak anda bila dia pandai melakukan perkara-perkara baru.

Pujilah dengan ikhlas, insyaAllah kita akan dapat melihat kuasa pujian itu nanti.

Share