Archive

Archive for the ‘tazkirah’ Category

Feb
07

gambaran padang Mahsyar

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Kami pernah berada dalam sebuah jamuan makan bersama Rasulullah SAW. Baginda dihidangkan daging (kambing) bahagian kaki kepadanya, kerana Baginda memang menyukainya lalu Baginda memakan daging tersebut. Setelah selesai Baginda bersabda:

“Aku adalah orang yang paling utama kelak pada hari kiamat. Tahukah kamu bagaimana keadaan nanti saat Allah mengumpulkan semua manusia di sebuah tampat yang luas (padang Mahsyar)? Pada hari itu Allah melihat dan mendengar semua yang telah mereka lakukan dan katakan. Matahari akan sangat dekat jaraknya sehingga semua manusia akan merasakan cemas dan kepayahan yang sangat, yang belum pernah mereka rasakan sebelum ini.

Tidakkah kamu pedulikan apa yang menimpa kamu sekarang ini? Tidakkah kamu mencari seseorang yang boleh memohonkan syafaat kepada Tuhan kamu?’ Sebahagian manusia yang ditanya tadi menjawab: ‘Bapa kamu, Nabi Adam.’ Mereka pun lalu mendatangi Nabi Adam dan berkata: ‘Wahai Nabi Adam, engkau adalah bapa daripada semua manusia yang ada. Allah telah menciptakanmu dengan tangan-Nya, lalu meniupkan roh-Nya kepadamu, memerintahkan para malaikat untuk bersujud kepadamu dan mereka pun bersujud, dan menempatkanmu di syurga. Mohonkanlah syafaat kepada Tuhanmu untuk kami? Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami dan apa yang menimpa kami sekarang ini?’ Nabi Adam menjawab: ‘Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat murka dengan kemurkaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan pernah terjadi lagi sesudahnya. Dahulu Dia pernah melarangku untuk mendekati sebuah pohon, namun aku melanggarnya. Aduhai diriku, sesungguhnya diriku juga memerlukan syafaat saat seperti ini. Menghadaplah kamu kepada selainku. Menghadaplah kamu kepada Nabi Nuh.’

Mereka pun lalu menemui Nabi Nuh dan berkata: ‘Wahai Nabi Nuh, engkau adalah rasul pertama yang Allah utus kepada penduduk bumi dan Allah telah memberikanmu gelaran sebagai ‘abdan syakura’ (seorang hamba yang banyak bersyukur). Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami dan apa yang menimpa kami sekarang ini?’ Mohonlah syafaat kepada Tuhanmu untuk kami?’ Dia menjawab: ‘Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat murka dengan kemurkaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan pernah terjadi lagi sesudahnya. Sesungguhnya, aku dahulu pernah memanjatkan doa kebinasaan bagi kaumku yang tak sepatutnya aku panjatkan. Aduhai diriku, sungguh diriku pun juga memerlukan syafaat pada saat seperti ini. Menghadaplah kamu kepada selainku. Menghadaplah kamu kepada Nabi Ibrahim.’

Mereka pun lalu menemui Nabi Ibrahim dan berkata: ‘Ya Nabi Ibrahim, engkau adalah seorang nabi Allah sekaligus kekasih-Nya diantara sekalian banyak penduduk bumi. Mohonlah syafaat Tuhanmu kepada kami?  Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami sekarang ini?’ Nabi Ibrahim menjawab: ‘Sesungguhnya hari ini Tuhanku sangat murka dengan kemurkaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan pernah terjadi lagi sesudahnya. Sesungguhnya dahulu aku pernah berdusta sebanyak tiga kali. Aduhai diriku, sesungguhnya aku pun juga memerlukan syafaat pada saat seperti ini. Menghadaplah kamu kepada selainku. Menghadaplah kamu kepada Nabi Musa.’

Mereka pun menemui Nabi Musa dan berkata: ‘Wahai Nabi Musa, engkau adalah seorang rasul Allah dan Allah telah melebihkanmu di atas semua manusia dengan kerasulan dan mengajakmu berbicara secara langsung. Mohonkanlah syafaat kepada Tuhanmu untuk kami? Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami sekarang ini?’ Musa menjawab: ‘Sesungguhnya pada hari ini Tuhanku sangat murka dengan kemurkaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan terjadi lagi sesudahnya. Sesungguhnya, dahulu aku pernah membunuh seorang yang aku tidak diperintahkan untuk membunuhnya. Aduhai diriku, sesungguhnya aku juga memerlukan syafaat pada ketika ini. Menghadaplah kamu kepada selainku, iaitu kepada Nabi Isa.’

Mereka pun menemui Nabi Isa dan berkata: ‘Wahai Nabi Isa, sesungguhnya engkau adalah rasul Allah,  (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) ruh daripada-Nya. Engkau juga telah diberi kemampuan untuk berbicara dengan manusia sewaktu masih berada dalam buaian. Mohonlah syafaat kepada Tuhanmu untuk kami. Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami sekarang ini?’ Nabi Isa menjawab: ‘Sesungguhnya, pada hari ini Tuhanku sangat murka dengan kemurkaan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan tidak akan pernah terjadi lagi sesudahnya.’ Nabi Isa tidak memaparkan apa dosa yang pernah diperbuatnya, lalu dia berkata: ‘Aduhai diriku, sesungguhnya diriku pun juga memerlukan syafaat pada ketika ini. Menghadaplah kamu kepada selainku, iaitu kepada Nabi Muhammad.’

Mereka pun lalu menemui Nabi Muhammad dan berkata: ‘Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah seorang Rasulullah dan penutup para nabi. Semua dosamu, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian, juga telah diampuni oleh Allah. Mohonlah syafaat kepada Tuhanmu untuk kami. Tidakkah engkau perhatikan bagaimana keadaan kami sekarang ini?’ Aku pun lalu pergi ke bawah Arsy. Di sana aku bersujud kepada Tuhanku. Seterusnya Allah mengajariku lafaz pujian dan sanjungan kepada-Nya yang belum pernah Dia ajarkan kepada seorang pun sebelumku. Setelah itu Dia berfirman: ‘Wahai Muhammad, bangunlah. Sekarang mintalah, nescaya akan dikabulkan bagimu.’ Aku pun lalu bangun dan berkata: ‘Umatku, wahai Tuhan. Umatku, wahai Tuhan, Umatku, wahai Tuhan (berilah mereka rahmat dan keampunan). ‘ Dia lalu berfirman: ‘Wahai Nabi Muhammad bawa masuklah ke dalam syurga segolongan umatmu yang (sudah dijamin masuk syurga) tanpa hisab melalui pintu yang berada di sebelah kanan syurga. Namun mereka juga tidak dilarang untuk memasukinya melalui pintu yang lain bersama orang ramai.’ Seterusnya, Nabi SAW bersabda: Demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya jarak antara kedua daun pintu syurga itu sebagaimana jauhnya jarak antara kota Makkah dan Kota Hajar atau antara Kota Makkah dan Kota Bushra.”      (Riwayat al-Bukhari no.3340 dan Muslim no. 194)

 

Share

Feb
01

keutamaan zakat

Diceritakan: Sekumpulan tabie pergi menziarahi Abi Sanan. Ketika sampai dan duduk di sisinya, dia berkata, “Kemudian kami datangi lelaki itu dan kudapati banyak menangisi saudaranya. Kuhibur ia namun tidak berhasil. Maka kami berkata, “Tidakkah kau tahu mati itu jalan yang mesti ditempuhi?” Dia menjawab, “Itu betul, tetapi aku menangisi seksanya pagi dan petang.” Kami bertanya, “Apakah Allah telah membukakan yang ghaib padamu?” Dia menjawab, “Tidak, tetapi ketika aku menguburnya dan meratakan tanahnya, di mana apabila orang telah pergi, aku duduk di atas kuburnya. Lalu terdengar suara dari kuburnya, aduh…kalian tinggalkan aku sendirian merasai seksa. Sedangkan aku telah solat dan berpuasa. Suara itu membuatkan aku menangis. Maka kugali kuburnya dan kulihat keadaannya. Ternyata kuburnya ada api yang membakarnya. Di lehernya ada kalung dari api. Sebagai saudara aku kasihan padanya. Maka kucuba mengambil kalung itu dengan tanganku. Namun jari dan tanganku terbakar. Ia hulurkan tangannya padaku. Tetapi tangan itu telah hangus. Maka tanah kuratakan dan aku meninggalkannya. Bagaimana aku tidak menangisi dan berdukacita padanya?” Kami berkata, “Ini sesuai dengan firman Allah:

“Janganlah orang-orang yang bakhil dengan barang-barang yang

dikurniakan Allah padanya itu mengira bahawa bakhil itu baik

bagi mereka. Nanti akan dikalungkan ke leher mereka barang yang 

mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat.”        (Q.S. Al Imran;180)

Saudaranya itu merasai seksa itu sampai hari Kiamat. Kemudian kami pergi dari sisinya dan datang kepada Abi Dzar, sahabat Rasulullah SAW, maka kuceritakan perihal lelaki itu padanya dan kukatakan bahawa orang Yahudi dan Nasrani pun tidak sedemikian rupa. Lalu dia berkata, “Mereka telah jelas di Neraka. Adapun yang diperlihat Allah padamu perihal orang yang beriman itu agar engkau boleh mengambil teladan. Allah telah berfirman:

“Barangsiapa melihat, maka (bahagialah) bagi dirinya dan 

barangsiapa buta, maka (celakalah) atas dirinya. Bukankah

Aku yang menjaga perbuatanmu?”   (Q.S. Al An’am: 104)

Tersebut dalam riwayat, dari Nabi SAW, baginda bersabda:

“Orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat di sisi Allah bagaikan

orang Yahudi. Orang yang tidak mahu memberi kepada si miskin

di sisi Allah seperti orang Majusi. Siapa yang tidak mahu zakat

tidak mahu memberi si miskin, ia dilaknati Malaikat dan Nabi SAW

dan tidak diterima kesaksiannya.”

Baginda bersabda: 

“Untunglah ia yang memberi zakat dan membantu si miskin. Untung bagi

orang yang tidak punya seksa zakat dan seksa hari Kiamat. Barangsiapa

yang memberikan zakat hartanya, dihilangkan darinya seksa kubur dan

Allah mengharamkan dagingnya di Neraka serta mewajibkannya masuk

ke Syurga tanpa hisab, bahkan tidak ditimpa kehausan di hari Kiamat.”

Share

Jan
16

Antara 10 celaan Allah kepada manusia akibat daripada kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

  1. Gelojoh ketika makan – Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat makan dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
  2. Banyak bercakap – Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia,fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada pemusuhan dan perbalahan sesama manusia.
  3. Suka marah-marah – Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamu, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
  4. Hasad dengki – seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnahkan hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir daripada perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (Riwayat Muslim).
  5. Kedekut dan bakhil – Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian daripada hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
  6. Bermegah-megah – Ia termasuk sikap yang suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
  7. Cintakan dunia – Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  8. Ego atau sombong – Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara daripada orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah sahaja yang bersifat Maha Besar.
  9. Ujub dan Suka Bangga Diri – Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa   bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego
  10. Gemarkan pujian atau riak – manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.
Share

Dec
21

Tanda-tanda takut kepada Allah itu kelihatan dalam tujuh perkara

  1. Pada lisannya. Dia menghindarkan diri daripada dusta, ghibah, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca al-Quran dan muzakarah ilmu.
  2. Pada hatinya. Dia membuang rasa pemusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Lantaran kedengkian dapat mengahapuskan kebaikan. Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda: Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu.Ketahuilah bahawa hasad itu penyakit hati yang amat berbahaya. Tidak ada ubat untuk penyakit hati selain dari ilmu dan amal.
  3. Pada pandangannya. Maka dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat pada dunia. Tetapi dia memandangnya dengan mengambil iktibar. Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada hari Kiamat.”
  4. Pada perutnya. Maka perutnya tidak diisi barang yang haram. Itu dosa besar. Sebagaimana Nabi SAW bersabda: “Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh Malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, maka tempatnya di Neraka.”
  5. Pada kedua tangannya. Dia tidak menggunakan untuk perkara yang haram. tetapi hanya menggunakannya untuk taat kepada Allah.
  6. Pada langkah (kakinya). Dia tidak berjalan untuk maksiat, tetapi hanya melangkah untuk taat kepada Allah, mencari keredhaan-Nya serta untuk ergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.
  7. Terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Takut pada riak dan munafik.

Barangsiapa melakukan tujuh perkara tersebut, maka dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan oleh Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar daripadanya,”  (Q.S Al Hirr : 45)

Dan seharusnya seorang mukmin harus berada di antara rasa takut dan berharap. Dia harus sentiasa mengharapkan Rahmat Allah. Tidak berputas asa mengharapkan rahmat Allah. Tidak berputus asa mengharapkanannya. Sepertimana termaktub dalam firman Allah:Jangan engkau berputus asa terhadap rahmat Allah”  (Q.S. Asy Syura: 28)

Share

Dec
16

Tawakal

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn’ Abbas r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Pernah dilihatkan gambaran seluruh umat kepadaku. Di dalamnya aku melihat seorang nabi bersama beberapa orang (kurang daripada 10) yang menyertainya, seorang nabi yang disertai satu atau dua orang, dan seorang nabi yang tidak ada orang menyertainya. Setelah itu, tiba-tiba diperlihatkan kepadaku sekumpulan manusia yang ramai jumlahnya yang aku ingat bahawa mereka adalah umatku, namun dikatakan kepadaku: ‘Ini adalah Nabi Musa dan umatnya. Sekarang cuba engkau lihat ke arah yang lain.’ Aku pun melihat ke arah yang lain dan di sana juga ada sekumpulan manusia yang ramai jumlahnya, namun dikatakan pula kepadaku: ‘Sekarang cuba engkau lihat ke arah yang lain pula.’ Aku pun melihat ke arah tersebut dan di sana juga ada sekumpulan manusia yang ramai jumlahnya. Di ketika itulah dikatakan kepadaku: ‘Inilah umatmu. Di antara mereka ada seramai 70000 orang yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan tanpa diseksa sebelumnya.’ “Ibn Abbas berkata: “Setelah itu Baginda bangun, lalu masuk ke rumah baginda. Para sahabat pun ketika membicarakan perihal orang yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa seksa itu. Seorang daripada mereka berkata: ‘Mungkinkah mereka itu adalah orang yang menjadi sahabat Rasulullah.’ Yang lain berkata: ‘Boleh jadi mereka adalah orang yang dilahirkan dalam Islam, lalu tidak mempersekutukan Allah.’ Setiap salah seorang daripada mereka mempunyai pendapat yang berbeza. Akhirnya, Rasulullah SAW keluar menemui mereka dan berkata: ‘Apa yang sedang kamu bincangkan?’ Mereka pun memberitahukannya. Seterusnya, baginda bersabda: ‘Mereka adalah orang yang tidak pernah menjampi, tidak minta dijampi, tidak melakukan tilik nasib, dan selalu bertawakal hanya kepada Tuhan mereka.‘ Mendengar hal itu, Ukasyah bin Mihshan lalu berdiri dan berkata: ‘Mohonlah pertolongan kepada Allah agar Dia mahu menjadikan aku termasuk golongan mereka.’ Nabi menjawab: ‘Insya-Allah engkau termasuk golongan mereka.’ Setelah itu ada orang lain lagi yang berdiri dan berkata: ‘Mohonlah pertolongan juga kepada Allah agar Dia mahu menjadikan aku termasuk golongan mereka.’ Lalu Nabi menjawab: ‘Engkau telah didahului oleh Ukasyah.’”                (Riwayat al-Bukhari no.5705 dan Muslim no.220)

Share

Nov
29

 Nabi s.a.w. sentiasa beramal dengan doa ini; maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”     (Surah al-Baqarah : 201) 

Keterangan dan petua beramal

Berbeza dengan sikap orang yang tidak beriman yang disebut dalam ayat ke 200, orang Mukmin memohon daripada Allah kebaikan di dunia dan  kebaikan di akhirat. Dunia penting untuk menyempurnakan akhirat. Hasanah atau kebaikan dunia merupakan kesihatan, pasangan yang soleh atau solehah, rumah yang luas dan sebagainya. Semua itu penting untuk perjalanan hidup ke alam akhirat.  (Tafsir al-Sawi, tafsir ayat 201 surah al-Baqarah)

sumber : Doa & zikir harian-Ust Zahazan Mohamed

 

 

 

Share

Nov
28

Maksudnya; “Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.”

(Riwayat Abu Daud no. 1522, dianggap sebagai sahih oleh al-Hakim I/273, dan disetujui oleh al-Zahabi.)

Keterangan dan Petua Beramal

Antara wasiat Nabi s.a.w. kepada Muaz r.a. ialah, agar dapat mengamalkan doa ini setiap selesai solat. Walau bagaimanapun, untuk sampai kepada peringkat khusyuk dan gembira dalam beribadah, seseorang itu memerlukan mujahadah atau kesungguhan.

Empat langkah untuk merasai kelazatan dalam beribadah

  1. Bersungguh-sungguh menyempurnakan ibadah yang wajib.
  2. Membiasakan diri dengan ibadah sunat.
  3. Melakukan al-amr bil ma’ruf wan nahyi anil munkar
  4. Beribadah hingga ke peringkat al-Ihsan, melakukan kerja-kerja dakwah, Qiyamullail dan menziarahi kubur.-menurut Dr. Ali Ab. Halim Mahmud dalam kitab Al-Tarbiyah al-Ruhiyah.

sumber: Doa & Zikir Harian-Ust Zahazan Mohamed

 

 

 

 

Share

Nov
28

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Adi bin Hatim r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: ” Setiap seorang daripada kamu pasti akan diajak bicara dengan Tuhannya secara langsung tanpa ada perantaraan. Dia melihat ke sebelah kanannya dan di situ tidak ada sesuatu pun yang dilihatnya, melainkan amalan yang telah dikerjakannya. Dia lalu melihat ke sebelah kirinya dan di situ tidak ada sesuatu pun yang dilihatnya, melainkan amalan yang telah dikerjakannya. Dia lalu melihat ke arah depannya dan di situ tidak ada sesuatu yang dilihatnya, kecuali neraka. Oleh itu, jagalah diri kamu daripada siksa api neraka walaupun dengan (bersedekah) setengah biji kurma.” (Riwayat al-Bukhari no. 1417 dan Muslim no. 1016)

 

Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a., beliau berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu nanti akan mengerjakan amalan yang dalam pandangan kamu lebih kecil daripada butiran gandum, sementara kami kami pada zaman Rasulullah SAW dahulu kami menganggapnya termasuk sesuatu yang mencelakakan.” (Riwayat al-Bukhari no. 6492)

 

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW,  Baginda bersabda:

Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah SWT itu sangat cemburu dan cemburunya Allah adalah jika seseorang melanggar apa yang telah diharamkan Allah ke atasnya.” (Riwayat al-Bukhari no. 1925 dan Muslim no. 2761)

Sumber: Ringkasan Riyadhus Solihin

Share

Nov
25

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud r.a., beliau berkata bahawa telah bersabda kepada kami Rasullullah SAW, seorang yang jujur dan sangat layak dipercaya: Maksudnya:

“Sesungguhnya proses penciptaan setiap orang daripada kamu berada di perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah (air mani). Kemudian, berubah menjadi alaqah (segumpal darah) dalam masa yang sama, kemudian berubah menjadi mudghah (segumpal daging) dalam masa yang sama, kemudian Allah mengutus seorang malaikat untuk meniupkan roh kepadanya di samping diperintahkan untuk menuliskan empat perkara, iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya, dan qadak dan qadarnya. Demi Tuhan yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya adakalanya seseorang daripada kamu benar-benar mengerjakan amalan ahli syurga sehingga jarak di antara dia dan syurga hanya tinggal satu hasta, namun qadak yang ditetapkan baginya telah tertulis lebih dahulu sehingga dia pun mengerjakan amalan ahli neraka sehingga akhirnya dia masuk kedalam neraka. Sesungguhnya  adakala seseorang daripada kamu benar-benar mengerjakan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dan neraka hanya tinggal satu hasta, namun qadak yang ditetapkan baginya telah tertulis lebih dahulu sehingga dia pun mengerjakan amalan ahli syurga sehingga akhirnya dia masuk ke dalam syurga.”     (Riwayat al-Bukhari n0.3036 dan Muslim no. 2643)

Sumber: Ringkasan Riyadhus Solihin

Share

Nov
10

Muslim meriwayatkan daripada Umar r.a., dia berkata:

“Tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW tiba-tiba datang seorang lelaki yang mengenakan pakaian sangat putih, mempunyai rambut yang sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bahawa dia seorang yang sedang bermusafir, dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenali lelaki tersebut. Dia lalu duduk di hadapan Nabi SAW dengan menyandarkan lututnya ke lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya di atas peha beliau. Kemudian dia bertanya Nabi: “Wahai Muhammad, tolong terangkan kepadaku tentang apa itu islam?” Rasulullah SAW lalu menjawab: ‘Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah; engkau mendirikan solat, engkau menunaikan zakat, engkau berpuasa di bulan Ramadan, dan engkau menunaikan ibadah haji ke Baitullah jika mampu’.

Dia berkata: ‘Engkau benar’. Kami merasa hairan, kerana dia yang bertanya, namun dia pula yang membenarkan. Dia berkata lagi: Tolong terangkan pula kepadaku tentang apa itu iman?’ Rasul menjawab: “Imam ialah engkau beriman kepada Allah, para malaikatnya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya,hari kiamat, dan engkau beriman kepada qadak dan qadar Allah, sama ada yang baik mahupun yang buruk.‘ Dia pun berkata : ‘Engkau benar.”

Dia bertanya lagi: “Tolong terangkan juga kepadaku apa itu ihsan?” Rasul menjawab: “Ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya; dan jika engkau tidak melihatnya, engkau yakin bahawa Allah pasti melihatmu. “Seterusnya, dia berkata: Tolong terangkan kepadaku bila tibanya hari kiamat.” Rasul menjawab: “Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.” Dia berkata lagi: “Kalau begitu, tolong terangkan kepadaku tanda-tanda hampir berlakunya hari Kiamat. “Rasul menjawah: “Tanda-tandanya adalah ketika hamba wanita telah melahirkan tuannya; ketika engkau telah menyaksikan orang yang  sangat fakir telah bermegah-megah dalam membangunkan tempat tinggal.‘Lalu, orang tersebut meninggalkan kami. Aku terdiam seketika, Rasul lalu bertanya kepadaku: ‘Wahai Umar tahukah engkau siapakah lelaki yang bertanya tadi?” Aku menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu”. Rasul menjawab: “Dia adalah Jibrail yang datang kepada kamu untuk mengajarkan kamu akan agama kamu.”

Maksud “hamba wanita telah melahirkan tuannya ” adalah seorang wanita telah melahirkan anak tuannya dari hasil hubungan sulit mereka dan telah menjadi suatu budaya, kerana jika tidak dikatakan budaya, kejadian seorang wanita yang melahirkan anak tuannya dari hasil hubungan sulit tidak akan pernah,berlaku, sama ada pada zaman Nabi SAW masih ada, zaman sahabat,mahupun pada zaman sesudah mereka. (Riwayat Muslim no.8)

sumber: Ringkasan Riyadhus Solihin

Share